BERKAWAN biar seribu, bersahabat biar satu. Itulah bezanya sahabat dengan kawan. Sahabat adalah teman paling rapat, tetapi tidak dinafikan memiliki ramai kawan memang menyeronokkan.
Setiap insan memerlukan teman hidup manakala sahabat teman yang sering wujud sepanjang kehidupan seseorang.
Bagi remaja, sahabat adalah insan paling rapat untuk mengadu masalah atau meluahkan perasaan. Malah, kebanyakan remaja lebih selesa dengan sahabat masing-masing berbanding ahli keluarga sendiri.
Bagaimanapun, tidak semuanya boleh dibuat sahabat. Sahabat yang mengamalkan cara hidup negatif seperti mengambil dadah, arak, seks bebas atau mat rempit patut dielak.
Dalam memilih sahabat, remaja perlulah berhati-hati. Ada sahabat yang setia dan sentiasa berusaha membawa kebaikan dalam hidup rakannya. Bagaimanapun tidak kurang juga sahabat yang hadir ketika kita gembira dan apabila dalam kesusahan mereka sanggup membiarkan rakannya menderita.
Sahabat memainkan peranan penting dalam pembentukan peribadi manusia kerana apabila persahabatan baru terjalin, ia membentuk satu ikatan persaudaraan. Malah, sahabat juga boleh menjadi penasihat dan pemberi semangat di saat anda kecundang dalam menangani masalah harian.
Paling memedihkan apabila sahabat yang kita percayai ‘menikam dari belakang’. Jika rakan lain yang bertindak seumpama itu, kita masih boleh menerimanya...
Namun, apabila sahabat iaitu orang yang amat dipercayai berpaling tadah, pedihnya bukan kepalang.
Sehubungan itu, berhati-hatilah dalam memilih sahabat kerana ia boleh menjadi madu dan pada masa sama boleh bertukar menjadi racun...
Mengikut perspektif Islam, persahabatan yang murni itu harus dihiasi dengan keikhlasan jiwa untuk bersahabat dan tidak mudah mengkhianati kawan, apa lagi menikamnya dari belakang.
Berikut adalah beberapa perspektif persahabatan yang boleh dicontohi :
- Pilih daripada kalangan yang berakal. Ini bermaksud, orang yang tidak jahil terhadap selok-belok agama. Di samping itu, untuk bersahabat, dia seharusnya tahu mengenai keperluan manusia lain.
- Seorang yang mempunyai akhlak baik dan budi pekerti mulia iaitu mempunyai keimanan dan memiliki cukup pertimbangan wajar dalam semua tindakannya.
- Sahabat yang tidak diperdaya nafsu dan keinginan ketika melewati usia persahabatan, tidak liar, pemarah, iri hati dan mana-mana sifat negatif lain.
- Jangan sekali-kali mendekati dan cuba bersahabat dengan seseorang yang bersifat fasik. Maksudnya, seorang yang hidupnya digelumangi dosa.
2 comments:
beza shbt dgn teman,, hehehe..thanks!
Post a Comment