sUmber :  harian MeTro 
MASYARAKAT kini semakin luntur kemanusiaannya. Saban hari ada saja  berita mengenai kisah penderaan suami terhadap isteri, isteri derhaka,  penganiayaan anak-anak, pembuangan bayi, pengabaian ibu bapa dan  pelbagai kisah kejam dan sedih yang jelas menggambarkan senario  masyarakat yang semakin tipis nilai kasih sayang dan kemanusiaan.
anak yang comel ini jUga ingin hidUp....
Bagaimanapun kali ini penulis mahu menumpukan perhatian kepada  pengabaian anak-anak terhadap ibu bapa. Ungkapan what you give is what  you get atau setiap perbuatan ada balasannya membuka mata kita mengenai  kesan terhadap perbuatan seseorang apabila usia memanjat tua.  Banyak  faktor menyebabkan orang tua dibaikan anak-anak mereka. Antaranya ada  ayah dan ibu asyik berkahwin dan cerai sehingga anak-anak tidak mendapat  kasih sayang dan terpaksa mencari haluan sendiri dalam hidup.  Tidak  kurang ibu bapa yang zalim mendera mental dan fizikal anak-anak  serta  mengabaikan hak anak-anak sehingga hidup mereka terbiar sejak kecil.    Ingatlah,  ibu bapa memegang amanah paling besar daripada Allah agar  mencorakkan masa depan anak-anak. Namun, jika ibu bapa ingkar menunaikan  amanah yang dipertanggungjawabkan mereka harus menerima karma yang  menanti mereka.
Kisah ini banyak terdapat di rumah orang tua yang seharusnya dijadikan panduan kepada masyarakat kerana kita tidak selamanya muda, kaya dan sihat. Benar kata pepatah, ingat sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati.
Kewujudan dan pertambahan rumah  orang tua di negara kita jelas  menggambarkan kesan kehidupan masyarakat khususnya di alaf 21 ini  apabila kita tua nanti. Dalam satu kajian yang dibuat Jabatan Kebajikan  Masyarakat (JKM), warga emas Melayu     paling ramai menghuni di 11  rumah orang tua seluruh negara di bawah seliaan jabatan berkenaan.   Timbalan Penguasa Rumah Orang Tua Seri Kenangan Cheng Melaka, Mohd Emran  Abdul Salam, berkata majoriti daripada 236 penghuni rumah berkenaan  ialah Melayu. Orang tua yang dimasukkan di rumah itu mempunyai pelbagai  latar belakang dan kisah hidup mereka tersendiri. 
  Menurutnya, faktor  utama menyebabkan mereka menghuni rumah orang tua ialah sikap mereka  sendiri sebagai ibu bapa yang gagal mendidik anak dengan baik  menyebabkan anak menghantar mereka ke situ.  Kedua, anak yang kurang  menghargai jasa ibu bapa dan terlalu mengejar kemewahan sehingga terlupa  bahawa restu ibu bapa   penting dalam melakukan setiap perkara.  Terdapat anak yang bergaduh sesama sendiri apabila diamanahkan untuk  menjaga ibu bapa yang telah tua dan uzur.  “Masing-masing ada alasan  tersendiri dan mengelak daripada menjaga ibu bapa. Akhirnya  jalan  penyelesaian ialah menghantar ibu bapa ke rumah orang tua. Ada juga di  antara anak tidak mahu menjaga orang tua mereka kerana desakan    pasangan seperti keengganan isteri atau suami menerima ibu bapa mereka,”  kata Mohd Emran.  Ketiga, peribadi penghuni itu sendiri, umpamanya  kehidupan masa muda yang dilalui seperti menjadi penagih dadah, bekas  banduan dan pekerja sosial.  Keempat, orang bujang yang tidak mempunyai  waris atau pasangan untuk menjaga mereka menyebabkan mereka mencari  tempat perlindungan di rumah orang tua.  Kelima, ibu bapa merajuk dengan   anak dan keluarga dan membawa diri untuk tinggal di rumah berkenaan. 
“Bagaimanapun, bagi kes ibu bapa   merajuk biasanya anak akan datang  memujuk mereka kembali ke pangkuan keluarga,” katanya.  Keenam, faktor  ekonomi yang menjadi alasan lazim  anak menghantar ibu bapa ke rumah  berkenaan.
Mohd Emran berkata, selama menjadi penguasa di rumah orang tua beliau berhadapan pelbagai kisah menyayat hati yang harus dijadikan iktibar masyarakat untuk lebih prihatin menjaga ibu bapa mereka. Bagi anak yang masih mempunyai ibu bapa seharusnya mereka menjaga ibu bapa dengan baik kerana orang tua mempunyai sifat yang terlalu sensitif dan perlukan belaian dan kasih sayang daripada anak mereka. Bagi yang mampu menjaga ibu bapa beliau nasihatkan menjaga mereka selagi masih ada. Di rumah berkenaan walaupun kakitangannya cukup dan keperluan fizikal seperti makan dan pakai disediakan, namun penghuni perlukan belaian dan kasih sayang anak serta cucu untuk mereka mengisi masa yang masih tersisa dalam hidup.
  Kepada ibu bapa terutama  yang masih muda, beliau menasihatkan agar tidak mengabaikan anak kerana  mereka akan tua suatu hari nanti dan memerlukan anak untuk menjaga  mereka. Kehidupan   terlalu mengejar kebendaan dan status tidak menjamin  apa-apa apabila tua kelak.  “Anak-anak adalah harta yang tidak ternilai  dianugerahkan Allah kepada kita. Jika baik dan bijak mendidik mereka,  insya-Allah mereka akan membalas jasa   ibu bapa,” katanya.
Pengasas dan Pengetua Rumah Orang Tua Al Ikhlas Puchong, Selangor, Muji Sulaiman berkata, kisah penghuni dihantar ahli keluarga membuatkan kita terfikir betapa kehidupan masyarakat kini sudah tersasar.
 kelUarga yang bahagia...inSyaALLAH
“Jika sebelum ini tanggungjawab menjaga ibu bapa dipikul anak, namun  sekarang mereka mengambil jalan mudah menghantar ibu bapa ke rumah orang  tua atas alasan tiada masa dan kekangan ekonomi,” katanya.  Menurutnya,  kehidupan masa lalu penghuni juga menyumbang kepada faktor mengapa  mereka menginap di rumah orang tua. Ada anak yang menghantar ibu dan  ayah kerana kecewa dengan sikap mereka   sewaktu muda kerana  lebih  mementingkan diri sendiri.  “Ada juga kisah ayah berkahwin lebih  daripada satu sehingga anak terbiar menyebabkan anak mereka membalas  dendam dengan menghantar mereka ke rumah orang tua.  Alasan yang  diberikan, ketika   muda mereka tidak ingat anak,  tetapi apabila sudah  tua  baru memerlukan anak,” katanya.
Muji berkata, ada juga anak yang meninggalkan ibu bapa di hospital tanpa dituntut menyebabkan orang tua mereka diambil Rumah Orang Tua Al Ikhlas Puchong. “Namun, paling banyak adalah kes tidak ada siapa yang boleh menjaga ibu bapa kerana kesibukan bekerja dan masalah ekonomi,” katanya.
Walau apapun alasan mereka, Muji menasihatkan  anak yang pernah  mengalami peristiwa pahit diabaikan ibu bapa agar melupakan kisah silam  dan menjaga kedua-dua ibu bapa mereka dengan penuh kasih sayang.    Memang bukan mudah menjaga   ibu bapa terutama yang uzur dan sakit,  tetapi kita tidak boleh melupakan jasa dan pengorbanan mereka  membesarkan kita.    Pesanan kepada mereka yang mungkin lupa bahawa kita  tidak sentiasa muda dan kaya serta sihat, tanggungjawab yang  diamanahkan Allah amat penting untuk kita laksanakan. Bagi ibu bapa yang  sentiasa sibuk dan terlalu mengejar kebendaan dan status, luangkan    masa untuk anak yang memerlukan perhatian dan kasih sayang.  Bagi  anak-anak pula, jangan abaikan tanggungjawab terhadap   ibu bapa hanya  kerana kita terlalu sibuk dengan pekerjaan dan ghairah mengumpul harta.   Kasihanilah ibu bapa kita kerana mereka amat memerlukan perhatian dan  kasih sayang untuk mengisi usia yang tersisa dalam hidup. Lupakan kisah  silam mereka, kerana kita juga tidak tahu apa nasib kita apabila kita  seusia mereka kelak. Ingatlah, hidup ini satu putaran.
INsYAALLAH....



No comments:
Post a Comment