senang-senang datang la lagi eyh..sahabaT amatlah dialU-alUkan...

Saturday, 27 November 2010

mEncaRi rahmaT ILLAHI~




Mengikut kamus dewan, rahmat lebih membawa makna kepada sifat Allah yang mengasihani, memberkati, menganugerahi dan mengurniai. Di dalam Quran terdapat lebih daripada seratus perkataan rahmat (124 kali) yang telah disebut oleh Allah. Jika ditinjau dari istilah kamus dewan, takrifan rahmat dari Allah masih belum konkrit. Al Quran menjelaskan :

A-li Imraan: 132
Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.

Al An’aam: 147
Kemudian jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad) maka katakanlah: Tuhan kamu mempunyai rahmat yang luas melimpah-ruah dan azab seksaNya tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa.


Jelas di sini bahawa rahmat sememangnya milik Allah. Daripada ayat-ayat berikut dapatlah kita lihat contoh rahmat Allah.

A-li Imran: 159
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

Yusuf: 49
 "Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)".

Al Qasaas: 73
Dan di antara rahmat pemberianNya, Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurniaNya dan juga supaya kamu bersyukur.

Saad: 43
Dan Kami kurniakan (lagi) kepadanya keluarganya, dengan sekali ganda ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang berakal sempurna (supaya mereka juga bersikap sabar semasa ditimpa malang).

Hadis Bukhari Muslim mafhumnya:1597
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t menjadikan rahmat sebanyak seratus bahagian. Dia menahan di sisiNya sebanyak sembilan puluh sembilan dan diturunkan ke bumi hanya satu bahagian. Dari satu bahagian inilah seluruh makhluk saling kasih mengasihi antara satu sama lain sehinggakan binatang mengangkat kaki dari anaknya takut terpijak atau menyakiti anaknya

Di antara contoh-contoh rahmat Allah daripada Al Quran dan hadis di atas ialah; bersikap lemah lembut, hujan, kejadian malam dan siang, anak  dan saling kasih mengasihi sama ada di kalangan manusia atau haiwan. Rahmat malam dan siang sahaja adalah merupakan satu rangkuman pelbagai rahmat lain yang tidak terkira seperti kejadian tumbuhan, haiwan, udara termasuk oksigen yang diperlukan manusia dan sumber makanan bagi semua makhluk di dunia.

Ar Ruum: 36
Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan) dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.


Daripada surah Ar Ruum di atas dapat juga dirumuskan bahawa sesuatu yang membawa kegembiraan juga adalah rahmat daripada Ilahi seperti pangkat, kemewahan, kuasa dan kekayaan.

Daripada penjelasan di atas, secara mudah rahmat Ilahi adalah setiap sesuatu perkara positif yang dikehendaki oleh manusia yang tidak melanggar batas agama seperti rahmat sihat, pendengaran, penglihatan, kenyang, tidur, jaga, mempunyai anak, pekerjaan, harta, nikmat kesedapan makanan, gigi, nikmat bersuami isteri, berkasih kasihan, hujan, panas, udara, tumbuhan, harta dan kekayaan.

Daripada surah Ar Ruum ayat 36 di atas juga Allah telah menerangkan bahawa Allah akan menarik kembali rahmat ini mengikut kehendak Nya. Contoh kes seperti ini ialah suami isteri yang tidak lagi berkasih kasihan malah bercakaran, Ada yang mempunyai pekerjaan yang baik tetapi sudah diberhentikan. Ada yang mempunyai anak tetapi Allah telah mengambil kembali mereka pada usia muda. Ada yang dahulunya sihat tetapi kini menghidapi pelbagai jenis penyakit. Ada yang dahulunya tenang dan tenteram tetapi kini menjadi kusut dan buntu. Ada pasangan isteri atau suami tetapi kini hidup menjanda / menduda. Ada yang dahulunya kerja di pejabat cantik molek tetapi kini telah diturunkan pangkat.  Ada yang dahulunya tidak banyak hutang tetapi kini sudah bertapuk dan di kejar along. Dahulu ada rumah atau kedai tetapi kini telah terbakar. Dahulunya kereta cantik berkilat, kini sudah pun rosak atau kemalangan atau telah hilang dicuri. Dahulu aman tidurnya tetapi kini tidak lagi semenjak rumah dimasuki pencuri dan hilang harta beribu-ribu RM. Dahulu keluarga sangat harmoni tetapi kini anak-anak sering bergaduh sesama mereka malah lebih teruk apabila mereka bergaduh dengan ibu bapa mereka. Dahulu sewaktu anak masih kecil mereka diberi penuh kasih sayang tetapi kini mereka kerap melawan dan tidak menghormati ibu bapa lagi. Dahulu dengan jiran saling hormat menghormati tetapi kini saling bermusuhan dan membenci. Dahulu di sekolah rendah anak pandai tetapi SPM cuma pangkat 3. Sewaktu dahulu duit melimpah ruah tetapi apabila semakin tua mereka menjadi semakin miskin dan kerap putus duit. Dahulu lemah lembut tetapi kini selalu marah-marah. Dahulu anggota badan sempurna tetapi kini cacat. Dahulu senang tidur tetapi kini kalau nak tidur kena makan pil tidur, itu pun belum pasti tidur lagi. Belum kahwin, engkaulah bulan engkaulah intan engkau lah payung tetapi selepas kahwin pantang bercakap sikit pasti berkesudahan dengan pergaduhan. Sejak kecil mendapat nikmat tidur, tetapi menjelang 20an nak tidur sahaja pasti ada lembaga yang menindih hingga takut untuk tidur. Ada yang dahulu suka makan kacang, rempeyek dan apel tetapi kini sudah tidak boleh mengunyah benda keras. Dahulu mata masih 20 / 20 kini dah kena pakai cermin mata. Dahulu hasil kebun menjadi tetapi kini hasil kelapa sawit sudah banyak menurun. Dahulu bawa kereta elok saja dan tak terlibat kemalangan tetapi kini kerap terlibat dengan kemalangan. Dahulu perniagaan sangat maju tetapi hari ini rugi menggunung serta banyak lagi contoh di mana Allah telah mengambil semula rahmatNya...



2 comments:

cik.gilbert said...

assalamualaikum.
heps.kamu kena tag.amik soalan kat page saya.then jawab..tehee
;)
kalu sudi ar.

mOhd ziQRuL fHahmie b dERaman said...

inSyaALLAH

Followers